Saya yakin dan percaya, ramai ibu yang anaknya dalam proses berhenti memakai lampin menghadapi masalah ini, iaitu anak anda terbabas dan terkencing di atas tilam. Biasanya saya sebagai ibu yang terbabas untuk mengejutkan anak untuk kencing diwaktu tengah malam. Akibatnya selain daripada baju, cadar selimut dan tilam juga akan terkena kencing, yang baunya cukup meloyakan.Untuk baju, cadar dan selimut, memang kita boleh rendam dan basuh dengan menggunakan mesin basuh. Pernah sekali anak tunggal saya yang tidur di katil kami di waktu petang dan terkencing. Bayangkan tilam besar yang agak tebal, macam mana nak buat yer? Iklan di TV mengatakan menggunakan Febreeze. Kami telah mencuba tak berkesan juga. Baunya cukup memeningkan dan memenuhi seluruh bilik.
Malam itu, kami sekeluarga tidur di atas toto di ruang tamu. Namun pada masa yang sama, kami juga melakukan rawatan. Caranya adalah dengan meletakkan sebesan kayu arang di atas tilam di bilik anak dan juga bilik kami dan tutup pintu rapat-rapat. Bangun pagi esoknya, Alhamdulillah semua bau yang kurang menyenangkan telah hilang, diserap oleh kayu arang berkenaan.
Semenjak hari itu, 1 besen kecil arang sentiasa ada di bawah katil anak saya. Tiada lagi bau hancing yang saya hidu diwaktu pagi. Namun yang paling utama adalah untuk mendidik diri sendiri sebagai ibu supaya dapat mengejutkan anak tepat pada masanya setiap malam supaya kes-kes 'kecederaan' seperti ini tidak lagi berulang.
Petua : Hiangkan bau yang kurang enak
Peluk lebih nikmat
maria.zakaria@utusan.com.my
![]() |
PELUKAN adalah sangat diperlukan dalam hubungan suami dan isteri bagi mengekalkan perasaan kasih dan sayang. - Gambar hiasan |
PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayangf sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.
Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik, bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti 'sayang', 'abang', 'manja' dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.
Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.
Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim?
Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.
Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati pelukan dari hubungan seksual.
Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa 'kelam kabut' sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.
Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.
mencadangkan 'rawatan pelukan'
"Sebenarnya suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.
"Ramai pakar psikologi yang mencadangkan 'rawatan pelukan' di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan seks.
"Tujuannya agar segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan merapatkan lagi hubungan suami isteri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada hubungan seks antara suami dan isteri.
Ia juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.
Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau pinggang.
Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.
Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.
Kata Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri yang jarang berpelukan.
Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu hanya diikat oleh 'lafaz nikah' dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan hubungan emosi serta perkongsian perasan.
"Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim).
"Oleh yang demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).
"Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk meluahkan perkataan 'Saya sayang awak', pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya," ujarnya.
Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram.
Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.
Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik.
Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan dalam keadaan kerisauan.
sumber: Utusan Malaysia

Mesyuarat Agung BKBTP
Hari ini 18 Jan 2012 telah berlangsung mesyuarat Agung badan kebajikan tempat saya bekerja. Badan kebajikan di setiap bahagian adalah NGO yang berfungsi untuk menjaga kebajikan setiap ahlinya.
Dalam mesyuart agung kali ini, dengan rasminya saya telah dilantik menjadi penolong bendahari. Satu jawatan yang amat saya takuti kerana ini berurusan dengan RM. Sedikit kesilapan, besar padahnya. Saya telah tahu mengenai pakatan-pakatan nakal untuk jawatan ini. Telah puas saya berkempen supaya tidak dilantik, namun perancangan Allah pasti ada hikmahnya.
Perkara menarik dalam mesyuarat ini adalah hadiah-hadiah yang diberikan. Untuk ‘door gift’ semua orang mendapat ‘trolly traveling bag’. Untuk cabutan bertuah pula, saya mendapat sehelai sejadah. (Ini kali ke 2 saya dihadiahkan sejadah, kali pertama masa family day dulu – sebagai ingatan untuk lebih kerap menggunakannya).
Jamuan makan tengahari, kek, pudding dan cendol yang di hidangkan juga cukup menyelerakan.
Tahniah dan terima kasih kepada AJK lama yang telah memberikan perkhidmatan yang memberangsangkan. Semoga dapat membantu dan menunjuk ajar kami, AJK baru untuk melaksanakan tanggungjawap kami dengan sebaik-baiknya.
Suami pelindung keluarga, bukan pencetus keganasan
Oleh Lokman Ismail
2012/01/17
Rumah tangga perlu dibajai dengan kasih sayang, saling membantu
LAPORAN media menyatakan lebih 95 peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan kecederaan fizikal terhadap wanita, satu perkara perlu dipandang serius.
Dalam institusi perkahwinan, lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadian lelaki yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding perempuan.
Firman Allah yang bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Ajaran Islam mensyaratkan supaya lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap perempuan. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak.
Amat malang jika lelaki yang diharap sebagai pelindung dan menjamin keselamatan perempuan bertindak sebaliknya. Laporan kes keganasan rumah tangga hingga mangsa terpaksa mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara membuktikan betapa seriusnya perkara ini.
Islam melarang sama sekali dilakukan sebarang kekerasan dalam rumah tangga. Biarpun ayat 34 surah an-Nisa membenarkan suami memukul isteri, ia tidak boleh dikategorikan sebagai kebenaran menggunakan penderaan atau kekerasan terhadap isteri.
Ayat 34 surah an-Nisa yang bermaksud: “Dan kepada mereka yang kamu khuatir akan kederhakaannya, berikan nasihat dulu, kemudian tinggalkan tempat tidurnya dan hendaklah kamu pukul.”
Keizinan memukul isteri itu jelas dalam konteks memberi pengajaran setelah cara nasihat dan memulau tidak berkesan untuk memperbaiki kesalahan isteri. Malah, pukulan itu sebenarnya hanya dalam tahap tidak mencederakan fizikal, sekadar menunjukkan ketegasan suami supaya isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini.
Rasulullah SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki dalam kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, pada hal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)
Islam melebihkan suami pada kedudukan bukan bermakna berkuasa melakukan apa saja mengikut sesuka hatinya. Kuasa dan kekuatan dimiliki perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya menimbulkan perkara buruk.
Suami mesti menunjukkan perasaan kasih sayang dan menyuburkan perasaan ceria serta gembira dalam keluarga. Amalan itu akan mewujudkan perasaan hormat dan sayang isteri terhadap suami.
Antara perkara boleh menyenangkan hati isteri ialah menolong melakukan kerja di rumah. Rasulullah SAW sering menolong meringankan tugas isterinya dengan melakukan sendiri seperti menjahit baju koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis riwayat Tarmizi)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri diakui oleh isteri baginda Siti Aisyah. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Aisyah pernah berkata: “Rasulullah tidak pernah sekali-kali memukul isterinya dan pembantunya.”
Isteri juga mempunyai peranan untuk mengelak berlaku keganasan rumah tangga. Lazimnya keganasan berlaku bermula dengan perang mulut. Sikap isteri cenderung mengeluarkan perkataan berunsur provokasi ketika bertengkar mengakibatkan tindak balas secara kekerasan oleh suami.
Lelaki tidak sabar biasanya tidak suka menggunakan suara untuk membalas 'serangan' isteri, sebaliknya akan melepaskan kemarahan dengan menggunakan kaki dan tangan hingga menyebabkan kecederaan, bahkan ada kes membawa maut.
Sebarang masalah perlu dileraikan dengan perbincangan berhemah. Sikap tidak mahu mengalah atau merasakan ‘ada hak’ perlu dipertahankan boleh merebak kepada keganasan fizikal. Ketika perasaan sedang marah, syaitan mudah mempengaruhi melakukan perbuatan boleh mendatangkan kesan lebih buruk.
Syaitan amat gemar masuk campur dalam pertelingkahan suami isteri dengan harapan berlaku perceraian. Syaitan amat berharap keruntuhan institusi rumah tangga kerana melaluinya lebih mudah berlaku kejahatan lain.
Bahkan, sebenarnya syaitan tidak suka jika lelaki dan perempuan mengambil keputusan berkahwin. Syaitan bersedih setiap kali berlaku ijab dan kabul menyatukan lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan sah. Jadi, jangan kita menggembirakan syaitan apabila berlaku perceraian atau perkara tidak baik dalam rumah tangga.
sumber: Berita Harian

Hikmah di sebalik kesukaran.
Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, saya sering meletakkan kereta di penghujung petak tempat letak kereta yang dibenarkan. Ada tulisan ‘Camping Zone’ ruangan berkenaan, namun saya tidak pernah melihat ada kereta yang kena clamp jika di letakkan di sana. Rasanya telah hampir 2 minggu tempat tuh seolah-olah menjadi tempat khas untuk saya, sehinggalah pagi tadi saya terlihat kereta saya telah kena clamp.“Aduhai, terbang RM30 lagi pagi-pagi buta nih”, kata saya dalam hati sambil bergegas ke pondok jaga. Semasa hendak membayar, dimaklumkan bahawa denda sekarang ini telah naik RM50. Ini adalah peraturan baru, penguatkuasaan baru, malah semua jaga-jaga ini pun muka-muka baru. Muka budak melayu yang macam baru lepas SPM, berbanding orang-orang Nepal dan Bangla sebelum ini. Ingatkan pengurusan jer yang baru, rupanya semuanya baru. Adik tuh kata “Clamp pun baru sampai semalam kak”.
Saya dan salah seorang jaga berjalan semula ke kereta saya. Ada 3 lorong yang boleh saya lalui, namun Allah menggerakkan hati saya untuk lalu jalan tengah. Ketika lalu di depan rumah(mujur rumah kami di tingkat bawah), saya terlihat lampu bilik solat masih terbuka. Jadi saya menyuruh adik tuh membuka clamp kereta saya terlebih dahulu sementara saya masuk semula ke rumah untuk menutup lampu. Di bilik berkenaan, saya terlihat suis seterika juga tidak ditutup. Entah kenapa saya agak cuai dan semacam tergesa-gesa pagi ini. Mungkin sebab tak nak lewat lagi macam pagi semalam.
Selepas memastikan semua lampu dan pintu ditutup, barulah saya pergi semula ke kereta saya. Selepas mengucapkan terima kasih kepada adik tu, saya pun bergerak ke pejabat dengan perasaan syukur kepada Allah. Apalah sangat RM50 denda yang perlu saya bayar, jika dibandingkan perkara-perkara buruk yang mungkin berlaku akibat suis elektrik yang tidak ditutup.
Allah terlalu sayangkan saya. Allah mendidik saya dengan peristiwa yang tak di sangka-sangka. Syukur Alhamdulillah.
Urus kesakitan untuk cepat pulih
Aduh..pinggangku sakit semula. Telah hampir seminggu macam nih. Namun apa yang aku buat? Tiada sebutir ubat pun yang kutelan. Senja semalam, sebab terlalu sakit sangat, aku cuma berbaring di atas hot water beg. Kemudian teringat senaman2 dan rawatan fisioterapi yang telah dilakukan kira-kira 2 tahun nan lalu. Mungkin perlu diulangi semula lawatan ke Damansara Specialist Hospital berkenaan. Namun di Utusan Malaysia, aku menemui artikal yang bagus ini.
ARKIB : 20/12/2011
Urus kesakitan untuk cepat pulih
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu juga dengan rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza antara satu sama lain.Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai, Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan tangan.
''Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula yang akan menganggap keadaan menjadi teruk sekali,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau luka. Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.
Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan, ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.
Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan agar cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah menguruskan rasa sakit.
Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.
''Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh tiga bulan,'' katanya.
Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf seperti sakit tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir kebanyakan orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh dilihat dengan jelas.
Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.
''Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak yakin pada diri sendiri,'' katanya.
Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung rawatan untuk membantunya pulih.
Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.
''Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,'' katanya.
Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian pinggang itu akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.
Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden, penyakit ini dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.
Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan radiofrequency ablation.
''Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,'' katanya.
Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.
Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang itu perlu melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang sesuai dan menaiki tangga.
''Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,'' katanya.
Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.
''Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya dapat dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan runsing,'' katanya.
Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh diisi ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang penyakit yang dialami.
Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
''Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam keadaan yang lebih tenang,'' katanya.
Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri daripada bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial Facebook (FB).
Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri atau orang lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.
Selamat tahun baru 2012
Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru 2012 kepada pembaca laman blog ini. Maaf kerana terlalu lama tidak sempat langsung mengemaskini blog ini.
Ini adalah ringkasan aktiviti yang telah berlangsung dari Oktober- Disember 2011 yang lalu.
Bil | Tarikh | Tajuk | Tempat |
1. | 5-7 Okt 2011 | Joomla | Bilik Multimedia Tkt 4 |
2. | 17-20 Okt2011 | Action Script with cs2: | Taman Dagang, Ampang Selangor |
3. | 1-3 Nov2011 | Php Progaramming | Bilik Multimedia Tkt 4 |
4. | 8-10 Nov 2011 | My SQL Database | Bilik Multimedia Tkt 4 |
5. | 14-16 Nov 2011 | Microsoft IIS7 | Bilik Multimedia Tkt 4 |
6. | 21-24 Nov 2011 | Active Directory | TrainPro : MidValley |
7. | 5-8 Dec 2011 | Network Infrastructure | TrainPro : MidValley |
8. | 12-15 Dec 2011 | Server Administrator | TrainPro : MidValley |
Selain daripada itu bermula Oktober 2011 juga, adik ipar saya berkursus utk selama 6 bulan. Oleh itu, pada hujung minggu berselang seminggu kami perlu ke rumah ibu mertua untuk membantu menguruskan tentang perubatannya dan juga membeli segala keperluan harian dan barang dapur. Bermula dari tarikh yang sama, notebook saya juga di pinjam oleh adik ipar untuk keperluannya semasa kursus. Oleh itu masa yang ada untuk mengemaskini blog amatlah terhad.
Bermula tahun 2012, banyak perubahan yang bakal dan perlu berlaku. Hari ini merupakan hari pertama suami bertugas di Cyberjaya. Ini bermakna suami akan keluar dari rumah lebih awal dan pulang lebih lewat. Maka urusan seharian/mingguan/bulanan di rumah perlulah diubah dan disesuaikan dengan perubahan.
Perubahan sturktur di pejabat juga mengakibatkan setiap orang perlu melakukan tugas yang lebih berbanding tahun sebelumnnya.
hmm..satu tahun yang benar-benar mencabar fizikal dan mental. Semoga kami semua akan terus tabah dan bersemangat. Amin..